Apakah erti Hari Raya dan bilakah disyariatkan dalam Islam?
Hari Raya itu memberi erti hari kebesaran, kegembiraan, kemuliaan dan sebagainya. Bagi setiap umat dan bangsa, agama dan kepercayaan di dunia ini, masing-masing mempunyai hari-hari kebesarannya yang tersendiri. Buat kita sebagai umat Islam mempunyai dua hari kebesaran yang dikenali dengan nama Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Korban yang disyariatkan dalam Islam pada tahun pertama Hijriah, ini difahamkan dari sebuah hadis yang bermaksud: “ Daripada Anas r.a berkata ia: Telah datang oleh Rasulullah s.a.w akan Madinah, pada hal bagi mereka itu ada dua hari kebesaran yang mereka rayakan dan bermain-main pada kedua-duanya ,lantas Baginda bertanya: apakah dua hari ini? jawab mereka, kami bermain dan bersukaria sejak dari zaman jahiliah lagi, maka Baginda bersabda:Sesungguhnya Allah Ta'ala telah menukarkan bagi kamu dengan dua hari yang lebih baik dari keduanya iaitu hari Raya Korban dan Hari Raya Fitrah “.